Puisi : Anak-Anak Itu

22 November 2010  
Kategori: puisi

37 views Jom bagi ulasan

Penulisan2u

Nukilan oleh : HONEY NUR FAIZ

Anak-anak itu berlari
bukan berpesta tawa
seperti kita
yang bergembira
raikan dusta dunia..

Anak-anak itu berkejaran
bukan meraikan
zaman riangnya
seperti kita yang kian lalai
dengan keasyikan
dan keindahan kepalsuan..

Mereka menyusup di celahan batu
mencari ruang
untuk menyambung nyawa
sedang kita menyusup dalam selimut
berdengkur..
mengumpul mimpi yang palsu..

Anak-anak itu
mengikat perut
menanggung lapar dan takut
sedang kita membiarkan
rezeki Tuhan
dilaburkan ke lembah
pembaziran dan kekejaman..

Anak-anak itu
telah lama
berhujankan darah dan air mata
sedang kita didewasakan
dengan hujan nikmat
yang tidak kita
syukuri pada Tuhan..

Cuba kita celik mata
cuba kita dengar bisikan
yang meronta
cuba kita baca
baris-baris derita cerita
di setiap titisan darah mereka
cuba kita jadi saudara yang peka
pada jeritan mereka…

BANGUNLAH wahai jiwaku
BANGUNLAH wahai jiwamu
BANGUNLAH dari lena
yang dipalsukan kenikmatan dunia…
yang jelas melalaikan…

BANGKITLAH wahai hatiku yang tidur
BANGKITLAH wahai hatimu yang terpedaya
AYUH kita nyalakan api juang
AYUH kita pegang
tangan yang ditindas sewenangnya
AYUH kita jadi mujahid
yang memburu syahid..

ALLAHU AKBAR!
ALLAHU AKBAR!
ALLAHU AKBAR!

( Sebuah sajak yang kutulis ketika terkenangkan saudara-saudaraku di Palestin)



Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

This site is protected by WP-CopyRightPro